Saturday, September 20, 2008

Peralihan kuasa lebih awal: PM sedang perhati pandangan dan situasi semasa dalam parti

Sidang akhbar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di tingkat 39 Pusat Dagangan Dunia Putra petang Khamis berlangsung cuma tujuh minit sahaja.

Ini kerana beliau terburu-buru kena menghadiri majlis berbuka puasa di Dewan Merdeka di bawah.

Berita terbesar yang ingin dicari oleh para wartawan yang ramai datang membuat liputan tentunya apakah ada tarikh baru ditetapkan oleh mesyuarat selama dua jam itu terhadap pelan peralihan kuasa 2010 dari Perdana Menteri kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini berikutan kenyataan Abdullah Rabu bahawa ia mungkin dibuat lebih awal dari bulan Jun 2010 yang telah ditetapkan.

Soalan spesifik mengenainya tak sempat ditanya kerana kesuntukan masa tetapi Presiden UMNO itu telah ditanya sama ada beliau tetap akan bertanding mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Jawapan mengenainya penting kerana ia dapat memberi indikasi jelas tentang perubahan tarikh peralihan kuasa itu sama ada ia berlaku sebelum mesyuarat bahagian-bahagian UMNO bermula 9 Oktober ini atau selepasnya.

Ini berikutan ada pandangan yang mengatakan seeloknya Perdana Menteri membuat peralihan itu sebelum mesyuarat UMNO Bahagian bermula untuk mengelakan kemungkinan timbul senario ‘kurang selesa’ jika katakan ada UMNO Bahagian yang tidak mencalonkannya sebagai Presiden UMNO dan sebaliknya mencalonkan Najib atau orang lain.

Kalangan pemerhati politik tidak menolak kemungkinan itu kerana UMNO Bahagian bebas membuat pencalonan mengikut penilaian masing-masing.

Menjawab soalan berkenaan Abdullah membayangkan beliau tidak menutup pintu kepada pelbagai pandangan semasa mengenai kedudukannya.

Menurut Abdullah sebarang keputusan berkaitan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan juga peralihan kuasa akan dibuat oleh beliau sendiri dan selepas berbincang dengan Najib dan ia akan dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO.

"Sebab mesyuarat (bahagian) belum bermula lagi dan apa-apa yang perlu saya laksanakan, dan apa-apa tindakan yang akan saya buat sekali lagi ke, apa ke, itu terserah kepada sayalah.

"Saya akan cakap dengan Datuk Seri Najib, tak payah ulang-ulanglah," katanya.

Abdullah juga berkata isu pelan peralihan kuasa itu tidak dijelaskan semula dalam mesyuarat MT hari ini.

"Saya tidak beri penjelasan semula. Saya hanya kata yang saya sedar, saya sentiasa mendengar, saya sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti.

Agendadaily difahamkan dalam mesyuarat itu ramai kalangan ahli Majlis Tertinggi telah memberi pandangan mengenai soal peralihan kuasa.

Ikut ceritanya kebanyakan mereka mahu tarikh peralihan kuasa dipercepatkan. Ada juga yang berpandangan ia wajar dilakukan sebelum mesyuarat UMNO Bahagian bermula.

Sementara itu orang yang turut menjadi perhatian pada mesyuarat Majlis Tertinggi kali ini iaitu Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat kenyataan di Singapura Rabu lalu meminta peralihan kuasa dipercepatkan ketika ditemui para wartawan memberitahu beliau telah memberi penjelasan kepada mesyuarat itu mengenainya.

Katanya. mesyuarat itu menerima penjelasannya .

"Saya ambil kesempatan (dalam MT UMNO hari ini) untuk memberitahu tentang kenyataan saya di Singapura dan kenyataan saya tentang parti sejak dulu. Saya jelaskan dan nampak tidak ada apa-apa perbahasan kerana saya jelaskan kenyataan ini adalah dengan niat baik untuk perbetulkan parti," kata Muhyiddin.


"Nampaknya Alhamdulillah... Presiden menerima dan tidak ada rakan-rakan saya yang mengkritik (penjelasan) biarpun sebelum ini ada yang kata macam-macam hal. Saya rasa syukur," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata saranan beliau sebelum ini yang meminta Abdullah untuk menyegerakan proses peralihan kuasa adalah bagi memulihkan parti untuk persiapan pilihan raya akan datang dan mempertahankan kedudukan BN.

"Walaupun saya tegur kepimpinan Presiden, bukan ada tujuan atau muslihat (tertentu) kerana semua ini adalah untuk pastikan supaya UMNO khususnya BN terus dipercayai," katanya.

Mengenai proses peralihan kuasa di antara Abdullah dan Najib , Muhyiddin berkata beliau menyerahkan kepada Abdullah dan Najib untuk menentukan bilakah ia akan dilaksanakan.

"Tidak ada tarikh khusus, cuma kita beritahu tadi perasaan dan pandangan ahli parti yang di bawah yang mahu proses peralihan dibuat secepat mungkin. Kita beri ruang pada Presiden untuk berbincang dengan Najib," katanya.

Ketika ditanya mesej beliau terhadap anggota UMNO, Muhyiddin berkata: "Mereka harus teruskan macam biasa kerana tidak lama lagi bahagian akan bersidang di mana mereka ada hak untuk putuskan. Tunggulah apa yang akan diumumkan Presiden atau Timbalan Presiden."
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata soal sama ada mungkin peralihan kuasa akan berlaku lebih awal dari yang ditetapkan biarlah perkara ini ditentukan oleh Perdana Menteri dan timbalannya.-

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP