Wednesday, April 30, 2008

UMNO jangan hilang fokus!

AHLI-ahli UMNO telah hilang fokus dan lari daripada agenda utama UMNO ekoran keputusan pilihan raya umum lalu. Agenda utama UMNO kini sepatutnya membina semula, memperkukuh, mempertahankan kekuatan, menarik kembali keyakinan serta sokongan ahli-ahli dan rakyat ke atas UMNO dan kerajaan; mendengar suara rakyat, mengukuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan memperkemas serta memperbaiki kelemahan sistem penyampaian dan ketirisan dasar pembangunan ekonomi negara.

Ahli-ahli UMNO sama ada disedari atau tidak, sebenarnya telah mengalihkan perdebatan kepada pergolakan dalaman parti. Yang hangat ditimbulkan ialah peralihan kuasa kepimpinan sama ada mendesak Pak Lah berundur atau mendesak Pak Lah mengumumkan proses peralihan kuasa.

Di samping itu juga, Pak Lah telah dijadikan kambing hitam dipertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan pilihan raya umum lalu.

Sebenarnya, kepimpinan UMNO dan BN di lima buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Selangor selain kepimpinan tertinggi MCA, Gerakan dan MIC turut bertanggungjawab ke atas tsunami politik yang menimpa BN.

Peralihan kuasa kepimpinan UMNO tidak menjamin sokongan rakyat akan kembali kepada UMNO dan BN, jika UMNO khususnya tidak merawat dengan segera 'penyakit' nasional yang telah diwarisi oleh kepimpinan Pak Lah.

Ahli-ahli UMNO janganlah berdebat atau berselisih pendapat semata-mata mahu menegakkan siapa yang betul dan memancing sokongan ahli-ahli parti untuk politik peribadi.

BernasSiri perjumpaan dengan akar umbi yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hendaklah digunakan sebaik mungkin sebagai pentas untuk ahli-ahli akar umbi UMNO mencambah pendapat secara rasional dan bukan secara emosional, memunasabah diri dan memberi pendapat yang bernas demi hala tuju UMNO akan datang.

Semua itu perlu untuk UMNO terus relevan dalam landskap politik negara. Ahli-ahli UMNO telah diberi kebebasan bersuara dan gunakanlah kebebasan bersuara ini untuk memperbaiki kelemahan UMNO.

Pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat secara ikhlas dan jujur perlu mengakui kelemahan dan kepincangan jika ada selama ini.

Jangan hanya tahu menuding jari serta melemparkan kesalahan dan kelemahan diri kita. Jangan juga pandai mengkritik orang lain dan hanya mahu orang lain menerima kritikan kita tetapi diri sendiri tidak boleh dikritik oleh orang dan tidak mahu menerima pandangan orang lain.

Kalau emosi yang mengatasi pemikiran kita, saya khuatir UMNO akan terus dipinggirkan oleh orang Melayu dan akhirnya akan terus ditolak oleh rakyat.

UMNO adalah teras kepada kestabilan, perpaduan dan keutuhan BN. Cukuplah dengan perpecahan orang Melayu selama ini.

Peralihan kuasa kepimpinan mesti dilakukan di peringkat bahagian UMNO juga kerana mereka inilah juga yang akan membentuk hierarki kepimpinan tertinggi UMNO.

Jangan pandai mendesak orang lain meletakkan jawatan tetapi diri sendiri tidak rela melepaskan jawatan yang disandang.

Jika ahli-ahli Parlimen dianalisis dari segi komposisi kaum pula, kekuatan Melayu untuk terus menerajui pemerintahan negara begitu rapuh sekali.

Kaum bukan Melayu telah membuktikan slogan 'kuasa rakyat' mereka mencabar ketuanan orang Melayu. Kalau orang Melayu dan ahli-ahli UMNO khususnya terus leka dengan perselisihan faham dan pendapat serta perebutan jawatan, jangan ditangisi jika slogan 'Melayu tidak akan hilang di dunia' hanya tinggal retorik; setelah Melayu menjadi harimau yang hilang taring kerana kuasa politik dan ekonomi negara dikuasai oleh kaum lain.

Keputusan pilihan raya yang baru berlalu juga memberi isyarat bahawa kepimpinan UMNO bukan sahaja untuk UMNO tetapi juga mesti diterima dan disenangi oleh rakyat khususnya para pengundi.

Pakatan Rakyat sedang memperkuatkan gabungan untuk memantapkan pakatan mereka bagi meyakinkan kemampuan dan kredibiliti mereka kepada rakyat sebagai kerajaan alternatif.

Pergolakan dalaman UMNO jangan terus dipanjangkan sehingga boleh melemahkan kepimpinan kerajaan dan menggugat kestabilan politik negara.

''Biar berlaga ayam di reban, biar menendang kuda di kandang, namun adat wajib dijaga.''

''Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.''

Subang Jaya.
Dipetik dari www.utusan.com.

1 comments:

Anonymous,  May 5, 2008 at 9:45 AM  

ape la umno nie...dulu mase tun M mmg bagus...sape pun x brani bersuara...skrg paklah ape ade...makin banyak rahsuah ade la...harge brg naik, minyak naik...nak tindas org ke ape paklah nie...

aku sokong tun M dari paklah yg agak lembab tu....

Maaf klu terkasar bahase...tapi kite rakyat patut bersuara klu pemimpin kite bermasalah....

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP