Wednesday, January 27, 2010

Pemuda UMNO tarik 25,019 ahli baru

SEREMBAN 21 Jan. - Usaha agresif Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menambah keahlian membuahkan hasil apabila berjaya menarik 25,019 ahli baru pada tahun lepas.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, prestasi tersebut iaitu yang paling tinggi berbanding sayap UMNO lain akan terus dipertingkatkan dengan penganjuran lebih banyak program berkaitan sepanjang tahun ini.

"Penambahan ahli ini adalah antara Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan parti dan setakat ini ahli Pemuda sudah meningkat kepada 703,126 ahli.

"Kita bagaimanapun belum berpuas hati dengan perkara itu sebaliknya tahun ini akan terus memberi fokus kepada lebih banyak program penambahan ahli baru," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO di sini hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran berhubung penambahan keahlian itu namun Pemuda UMNO akan memastikan ia melebihi angka tersebut.

"Kita akan mengekalkan prestasi ini walaupun tiada sebarang sasaran bagi tahun ini namun keahlian diharapkan melebihi angka tahun lepas," katanya.

Menurut beliau lagi, semua Ketua Pemuda UMNO negeri dan jawatankuasanya akan digerakkan supaya bekerja keras dalam mencapai kejayaan tersebut.

"Ini kerana ada negeri yang menunjukkan prestasi tinggi dan ada juga yang lemah namun ia bergantung kepada penduduk negeri dan saiz.

"Perkara ini akan dilihat dalam konteks setiap negeri. Selain itu kita juga akan melaksanakan program penambahan ahli secara khusus pada tahun ini," kata beliau.

Tambahnya, pergerakan tersebut juga akan melaksanakan fasa keduanya untuk memastikan semua ahli sekiranya layak daripada segi umur, mendaftar sebagai pemilih.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP