Thursday, April 16, 2009



Pergerakan Pemuda UMNO di semua peringkat diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta sangkaan buruk ekoran langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyenaraikan Khairy Jamaluddin menganggotai Kabinet.

Sebaliknya Ketua pergerakan itu mahu semua pihak menganggap langkah tersebut sebagai satu hikmah terutama dalam konteks menguatkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tegas Khairy, sebagai pemimpin nombor satu parti, Najib mempunyai visi untuk menarik semula sokongan golongan muda kepada parti dan untuk itu Pemuda dipertanggungjawabkan melaksanakan tugas berkenaan.

"Saya menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan percaya tanpa penglibatan saya dalam Kabinet ia akan memberi lebih peluang kepada saya untuk bekerja lebih kuat bagi memantapkan semula parti,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Program Exco Turun Padang dan Perasmian Pasukan Gerakan Khas Pemuda Selayang di sini malam ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Selayang, Abdul Shukor Idrus dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Sohaimi Shahadan.

Dalam pada itu, Khairy dalam sidang akhbar selepas itu berkata, Pemuda akan menukar strategi menyuarakan masalah rakyat dengan lebih mendampingi mereka.

"Sudah tiba masanya Pemuda berbuat demikian kerana kami mahu berkhidmat dan membela rakyat khusus golongan yang memerlukan bantuan di semua tempat termasuk bandar dan luar bandar," tegasnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana memilih Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan selain melantik bekas exco Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menurut Khairy, pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan kepada Pemuda yang selama ini tidak pernah ketinggalan membantu kerajaan membangunkan negara.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP