Tuesday, February 17, 2009

JANGAN SEMPITKAN FIKIRAN ANDA!!

"Sungguhnpun ada di antara kita yang berlainan fikiran. fahaman, taraf dan kedudukan, tetapi hakikat, tujuan dan maksud kita hanya satu, iaitu hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita", Mac ini sahajalah medan terbaik untuk menentukan yang terbaik untuk parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara ini.Ingatlah nasib parti, bangsa dan agama, berdirilah di atas bumi yang nyata, janganlah melihat pemilihan ini hanya di dalam konteks sementara dan bermusim", UMNO bukanlah parti milik mana-mana pemimpin tetapi ia adalah sebuah parti yang bakal menentukan kesinambungan perjuangan Melayu dan Islam di negara ini.
PEMILIHAN pemimpin amat penting untuk menentukan kekuatan sesebuah parti politik. Sistem demokrasi yang diamalkan untuk menentukan pemilihan pemimpin tertinggi dalam parti perlu dilaksanakan secara adil, berhemah dan ikhlas.

Faktor politik Islam semakin pudar

Demokrasi sering dikaitkan dengan suara majoriti tanpa mengira kedudukan individu. Ahli-ahli parti di peringkat akar umbi merupakan orang yang mengenali setiap pemimpin di kawasan mereka.

Jika ahli-ahli politik memahami prinsip perjuangan parti maka mereka akan memilih calon pemimpin yang berwibawa. Sikap dan mentaliti ahli-ahli politik di peringkat akar umbi amat penting untuk menentukan kekuatan parti.

Sikap gemar memberi ganjaran berbentuk wang kepada ahli-ahli politik di peringkat akar umbi merupakan lumrah pemimpin masa kini.

Apabila suasana begini tidak dibendung maka pemilihan pemimpin adalah berdasarkan kepada kuasa dan kewangan bukan berlandaskan kewibawaan dan kegigihan pemimpin dalam memperjuangkan dasar dan prinsip parti. Ini merupakan kelemahan dalam arena politik umat Islam masa kini.

Kebolehan, kegigihan dan pengorbanan ahli-ahli politik dalam memperjuangkan prinsip dan dasar parti perlu diberi keutamaan dalam pemilihan calon pemimpin parti.

Ahli-ahli dari akar umbi sahaja dapat mengenali calon yang layak untuk memimpin parti kerana mereka dapat melihat secara jelas tingkah laku dan sikap setiap pemimpin parti di kawasan mereka.

Kesukaran untuk memilih calon berwibawa merupakan masalah kritikal yang dihadapai umat Islam masa kini. Ini disebabkan beberapa faktor yang sukar untuk diatasi umat Islam.

Pertama, ahli-ahli politik lebih menumpukan perhatian kepada perebutan kuasa dan cara untuk mendapatkan kuasa bukan untuk memperkukuhkan kekuatan parti dan perjuangan.

Sikap begini mendorong ahli-ahli politik sama ada di peringkat akar umbi atau kepimpinan atasan menggunakan wang dan kuasa dalam pemilihan calon pemimpin. Hasilnya, calon yang dipilih untuk memimpin adalah di kalangan orang yang tidak layak.

Apabila keadaan begini berlaku maka pemimpin berkenaan akan menggunakan cara yang sama dalam struktur pemerintahan dan kepimpinannya.

Malah dia juga akan memperkembangkan kaedah perebutan kuasa dengan menabur wang dan menunjukkan kuasa kepada ahli-ahli parti di kalangan remaja.

Jika suasana begini wujud dalam pemikiran dan jiwa kebanyakan ahli politik maka kekuatan parti politik semakin hari kian lemah kerana pemimpin bukan terdiri daripada orang yang layak dan berwibawa.

Faktor kedua yang menyebabkan parti politik umat Islam menjadi semakin kemelut adalah akibat sikap pemimpin atasan menentukan calon kepimpinan negara.

Jelas dipertontonkan kepada masyarakat bahawa terdapat individu yang tidak mempunyai pengalaman dalam hal ehwal politik, kenegaraan dan kemasyarakatan ditawar menjadi pemimpin dengan alasan yang tidak rasional.

Politik merupakan satu bidang yang amat memerlukan kepada ketajaman akal serta kemampuan bertindak secara spontan apabila berhadapan dengan permasalahan.

Ilmu dan kepakaran dalam hal ehwal politik hanya diperolehi menerusi penglibatan dalam politik untuk jangka masa yang lama.

Ini kerana perkara berkaitan dengan politik adalah tidak statik dan sering berubah mengikut masa dan perubahan dunia, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Oleh itu para pemimpin politik mestilah terdiri daripada orang yang berpengalaman dalam pelbagai hal ehwal kemasyarakatan.

Menerajui

Orang yang tidak berpengalaman dalam hal ehwal politik dan kemasyarakatan tidak akan mampu menerajui kepimpinan negara kerana kedudukan dan jawatan yang diberikan kepadanya dianggap sebagai rezeki bukan tanggungjawab.

Hasilnya, pemimpin begini akan bersikap seperti raja di kawasan yang dianugerahkan kepadanya untuk memimpin. Sikap dan tindak tanduk begini menimbulkan perasaan marah di kalangan para pemimpin politik tempatan yang sudah lama berjuang dalam arena politik.

Apabila suasana begini wujud di kawasan tersebut maka semangat untuk memperjuangkan parti tidak tersemat dalam hati nurani dan pemikiran para pemimpin tempatan. Ini merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan kekalahan parti politik di kawasan tersebut.

Faktor ketiga yang menyebabkan parti politik Islam menjadi semakin pudar ialah kerana proses pemilihan pemimpin perlu melalui pelbagai peringkat dan memakan masa yang lama.

Ini juga boleh menyebabkan pemimpin parti menumpukan perhatian kepada pemilihan calon daripada melaksanakan tugas seharian secara aktif.

Proses pemilihan calon yang disuarakan oleh ahli parti dari akar umbi sepatutnya perlu diberi keutamaan kerana mereka dapat menilai kepimpinan pemimpin parti secara jelas. Ini adalah bersesuaian dengan prinsip demokrasi dalam parti.

Apabila suara dan hak memilih diberi sepenuhnya kepada ahli parti di peringkat akar umbi maka politik wang dapat dielakkan.

Proses pemilihan calon yang memakan masa lama dan perlu melalui pelbagai peringkat boleh menyebabkan individu tertentu menggunakan wang serta kuasa untuk mengaburkan mata ahli-ahli parti.

Suasana dan sikap begini boleh menghapus hak dan suara ahli parti yang merupakan orang terpenting dalam penyebaran pengaruh politik di kalangan masyarakat.

Apabila suara dan pemilihan mereka diketepikan, maka ini boleh menyebabkan mereka tidak bersemangat untuk memperjuangkan prinsip serta dasar parti kerana para pemimpin parti sendiri menggunakan wang dan kuasa dalam pemilihan calon pemimpin parti.

Jika para pemimpin parti mengabaikan disiplin dan etika dalam pemilihan calon pemimpin parti maka konsep syura atau demokrasi yang diperjuangkan oleh parti akan menjadi kabur.

Hasilnya parti politik yang berwibawa akan tersungkur akibat perjuangan parti berasaskan kepada kuasa dan wang bukan maruah agama dan bangsa.

Faktor keempat kepada kelemahan parti politik Islam ialah kurang tegas dan kental dalam memperjuangkan objektif serta prinsip.

Sebagai pemimpin tertinggi dalam politik, seseorang itu perlu memahami bahawa tugas utamanya ialah memperjuangkan prinsip dan dasar parti dalam apa jua keadaan.

Sikap tegas dalam kepimpinan dan mempertahankan prinsip perjuangan parti merupakan amanah dan tanggungjawab pemimpin tertinggi dalam parti. Pemimpin yang berhemah dan berwibawa tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan parti terutama berkaitan dengan kepentingan bangsa dan agama.

Sikap terlalu terbuka dan liberal dalam kepimpinan adalah positif jika ia tidak mencemar kewibawaan dan kehormatan bangsa dan agama.

Jika terlalu liberal sehingga hak warisan bangsa dan agama tergadai maka kepimpinan begini bukan sahaja menghiris hati nurani umat Islam malah ia juga boleh menghancurkan parti politik kerana masyarakat tidak akan mempercayai parti yang memperjuangkan bangsa dan agama itu dapat mengekalkan kedaulatan bangsa dan agama.

Berdasarkan kepada empat faktor itu maka setiap ahli dan pemimpin parti perlu ikhlas serta jujur memilih calon parti supaya agama dan bangsa dapat dibela.

Kewibawaan dan kehebatan kepimpinan Islam perlu dijadikan contoh kepada masyarakat dalam negara ini.

Konsep universaliti dalam Islam perlu difahami secara jelas supaya setiap bangsa dalam negara ini melihat parti politik Islam dalam perspektif yang positif walaupun parti tersebut memperjuangkan kedaulatan bangsa dan agama.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP