Sunday, February 1, 2009

Cadangan Tengku Rithaudeen tidak relevan


Cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail untuk membubarkan Pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera UMNO dengan alasan bagi membanteras gejala politik wang telah mendapat pelbagai respon daripada para pemimpin tertinggi UMNO. Tan Sri Muhyiddin Yasin yang merupakan salah seorang calon bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO menggambarkan cadangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak munasabah sementara Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz pula mengumpamakan cadangan tersebut sebagai marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata cadangan pembubaran semua sayap UMNO akan menyukarkan parti mendapatkan sokongan golongan muda pada pilihan raya akan datang sejarah telah membuktikan bahawa penubuhan sayap UMNO seperti Puteri mampu menarik sokongan golongan muda menyertai parti itu. Walau apa jua cadangan dan pendapat yang diberikan di kalangan pemimpin mahupun veteran UMNO, saya percaya semuanya dibuat atas dasar sayangkan parti dan mahu melihat UMNO terus kekal sebagai parti yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional.

Ini kerana, pokok segala persoalan ialah bagaimana UMNO boleh berhadapan dengan isu politik wang ini dan membanteras gejala ini secara habis-habisan dan besar-besaran. Mantan Perdana Menteri Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir ada menyatakan bahawa, matlamat utama perjuangan UMNO perlu disematkan di dalam benak sanubari setiap ahli UMNO dan setiap pemimpin perlu kembali kepada perjuangan asal UMNO iaitu untuk membela agama Islam dan bangsa Melayu dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Beliau merupakan bekas ahli UMNO dan amat sayang kepada Umno yang ditubuh oleh pejuang-pejuang kebangsaan dahulu.

Tetapi menurut beliau, parti yang ada sekarang bukan UMNO dari segi semangat dan perjuangannya. Yang ada ialah parti yang utamakan kepentingan diri, terutama pemimpin-pemimpinnya. Saya yakin dan percaya jika ahli-ahli dan para pemimpin UMNO bersedia untuk koreksi diri, mereka mampu bangun kembali dan memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan. Terdapat suara-suara mengatakan perubahan di dalam UMNO hanya akan dilakukan selepas proses peralihan kuasa mengambil tempat pada Mac nanti.

Secara peribadi saya merasakan UMNO tidak perlu menunggu sehingga proses peralihan kuasa selesai kerana banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh dua bulan yang akan datang ni.

Sebagai contoh, pada hari Ahad yang lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bota, Datuk Nasaruddin Hashim telah mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Perkara ini sememangnya sesuatu yang tidak dijangkakan dan merugikan UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri.

Para pemikir UMNO dan 'tink-tank' mereka perlu segera tampil dengan satu formula berkesan bagi memastikan UMNO terus relevan di kalangan ahli sedia ada dan mampu mendapat tempat di kalangan golongan muda yang umum sedia maklum sekarang lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat. UMNO perlu mengambil langkah untuk mendekati masyarakat dan memahami masalah yang dihadapi.

Para pemimpin UMNO tidak lagi boleh bersikap 'compleasant' dan berada di dalam 'zon eksklusif'' kerana jika para pemimpin UMNO terus bersikap sedemikian, maka tidak mustahil UMNO akan terus dibenci dan terus dilupakan oleh orang Melayu terutamanya golongan muda.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP