Monday, September 22, 2008

Tarikh 9 Okt: Terpulanglah Pada Keputusan PM - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata terpulanglah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan sama ada akan mengundurkan diri atau tidak pada 9 Okt.

"Kita serahkan kepada Perdana Menteri dan juga Presiden Umno untuk memikirkannya. Saya tidak fikir ada keperluan untuk memberikan tekanan atau memperkatakan lagi mengenainya.

"Saya fikir beliau sedar apa yang berlaku pada peringkat akar umbi. Beliau boleh dapat banyak maklumat daripada para pegawai dan sumber-sumber politiknya untuk menilai apa yang telah berlaku di sana (akar umbi)," kata beliau ketika ditanya sama ada Perdana Menteri akan mengundurkan diri pada 9 Okt. Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Jepun, yang dianjurkan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) di sini, Isnin.

"Apa juga kenyataan, Saya fikir ia bukanlah ada kaitan sangat dengan keadaan, ramai yang telah menyuarakan pandangan mereka dan saya adalah salah seorang daripada mereka.

"Isu pelan peralihan, Saya tidak fikir kita perlu memberikan tekanan kuat kepada sesiapa untuk tujuan ini. Saya fikir, yang paling penting ialah apa yang Datuk Seri Najib (Tun Razak) katakan bahawa keputusan paling penting akan diputuskan oleh perwakilan pada mesyuarat bahagian yang akan bermula Oktober ini," kata Muhyiddin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut ditanya sama ada isu peralihan kuasa itu akan mempengaruhi anggota Umno dan beliau berkata: "Saya berpendapat ahli yang ada sekarang ini terdiri daripada mereka yang memahami dan tahu dan mengikuti perkembangan sedekat-dekatnya.

Mereka juga mempunyai aspirasi dan cita-cita, mereka faham apa yang dirasa rakyat secara keseluruhan. "Mereka tidak terasing daripada apa yang dirasakan oleh masyarakat majmuk. Mereka juga memikirkan tentang parti, soal negara. Apa pun sentimen seperti ini kita tidak boleh memperkecilkan," katanya.

-- BERNAMA

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP