Wednesday, August 27, 2008

Mukhriz desak Abdullah letak jawatan segera

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir mendesak agar Perdana Menteri segera meletakkan jawatan ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh semalam.

Selain itu beliau juga menegaskan bahawa kemenangan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menunjukkan rakyat semakin hilang kepercayaan kepada BN khususnya Umno

Peralihan kuasa dalam Umno juga didesak agar segera dilakukan dan tidak perlu menunggu sehingga Disember nanti.

Menurut laporan yang disiarkan menerusi MStar, Mukhriz menegaskan bahawa peralihan kuasa dalam Umno yang perlu dilakukan sebelum Disember bukan hanya melibatkan jawatan Presiden tetapi turut melibatkan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

"Kalau contohnya ada (peralihan kuasa) di perhimpunan (Agung Umno), timbalan akan ambil alih, siapa pula akan jadi Timbalan Presiden dan siapa pula yang akan naik menjadi Naib-naib?" kata beliau.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa BN perlu mengambil iktibar dan mengkaji semula punca kekalahan di Permatang Pauh termasuk menilai semula sama ada mereka kurang sensitif atau pun strategi yang kurang berkesan.

"Kita tidak melakukan tugas yang cukup baik untuk meyakinkan orang ramai. Pada masa ini, tidak banyak yang boleh kita katakan untuk orang percaya dan ini adalah isu kredibiliti.

"Ini disebabkan oleh kepimpinan yang lemah dan kita memerlukan perubahan yang besar," katanya.

Mukhriz berkata, Umno berada dalam keadaan paling lemah selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Beliau juga percaya, ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh, terdapat segelintir penyokong BN sendiri yang berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Justeru katanya, perubahan mesti dilakukan sekarang dan ia bukan sesuatu yang boleh dilengahkan.

BN kata beliau, sepatutnya membuat persiapan yang rapi dan tidak mengambil mudah terhadap kemampuan Anwar kerana menghadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak sama seperti dengan menghadapi calon-calon lain daripada pembangkang.

Mukhriz berkata sekiranya terdapat mana-mana pilihan raya kecil selepas ini, BN perlu bekerja keras dan perlu menggunakan pendekatan yang berbeza kerana jika masih dengan cara yang lama tidak mustahil akan berlaku kekalahan lagi

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP