Sunday, February 8, 2009

Keadaan Di Perak Bukti Keretakan Nyata Pakatan Rakyat


KOTA BAHARU, 9 Feb (Bernama) -- Senario politik di Perak ketika ini nyata membuktikan keretakan serius yang berlaku dalam parti gabungan Pakatan Rakyat dan tidak mustahil gabungan itu akan berakhir.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata keadaan itu juga memperlihatkan ideologi parti gabungan dalam Pakatan Rakyat tidak sehaluan dengan pemimpin mereka saling menunding jari antara satu sama lain.

"Ini satu realiti yang berlaku dalam Pakatan Rakyat dan gabungan itu ternyata sangat rapuh dan tidak boleh menyamai kesepakatan dalam Barisan Nasional (BN)," katanya pada majlis makan malam meraikan media sempena Tahun Baru Cina di sini, malam tadi.

Pengerusi DAP Karpal Singh pada sidang akhbar semalam tanpa berselindung menyalahkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang apa yang berlaku di Perak.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu bukan sahaja menuding jari kepada Anwar tetapi juga kepada anggota jawatankuasa pusat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mustapa berkata tindakan Karpal Singh yang ingin menyaman Sultan Perak kerana merestui pembentukan kerajaan baru BN di Perak sebagai perbuatan di luar batasan dan biadap.

Sehubungan itu beliau mahu Pakatan Rakyat menghentikan daripada mengeluarkan kenyataan yang mendorong rakyat mengadakan demontrasi jalanan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keamanan negara.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan BN sebaliknya sentiasa melaksanakan kerja-kerja untuk membantu rakyat, sepertimana di Sabah di mana masih ramai penduduk di luar bandar yang memerlukan pembelaan.

"Sekiranya kita hanya memikirkan bagaimana lompat (parti) sini, lompat sana, bila kerajaan akan tumbang, siapa akan ambil alih, akhirnya yang akan jadi mangsa ialah rakyat," katanya.

Mengenai perjumpaan beliau dengan Pemuda Umno Sabah di sini, Hishammuddin berkata barisan yang menggabungkan muka baru dan lama itu cukup mantap dan yang boleh membawa parti ke tahap yang lebih tinggi.

"Walaupun 18 (ketua pemuda bahagian) daripada 25 bahagian merupakan muka baru, mereka telah bersiap sedia bukan saja menerokai kepimpinan Pemuda di peringkat negeri, tetapi perjuangan ke dalam aliran politik perdana negara," katanya.

Selain itu, katanya Pemuda Umno Sabah juga akan menyerahkan memorandum yang ditandatangani 25 ketua Pemuda Umno bahagian untuk dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebagai menyokong sistem raja berperlembagaan.

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP