Sunday, September 14, 2008

Suburkan demokrasi dalam UMNO- Datuk Mukhriz

Umum mengakui bahawa pemilihan UMNO kali ini akan menentukan tenggelam timbulnya parti kita ini. Ahli-ahli UMNO, orang Melayu, malah Rakyat Malaysia keseluruhannya memberi perhatian yang khusus kepada pemilihan UMNO kerana lazimnya pemenang-pemenang jawatan tertinggi parti akan dilantik jawatan-jawatan tinggi Kerajaan. Presiden UMNO akan memegang jawatan Perdana Menteri, manakala Timbalan Presiden pula Timbalan Perdana Menteri.

Ini menjadi kenyataan sekiranya Barisan Nasional (BN) masih menguasai majoriti kerusi-kerusi dalam Parlimen, dan UMNO kekal dengan kerusi Parlimen terbanyak dalam BN. Jika BN tidak dapat mempertahankan bilangan kerusinya, maka sudah tentu parti lain yang akan menawarkan ketuanya kepada YDP Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah realiti yang selalu kita ambil mudah kerana kita berada dalam zon selesa dan beranggapan bahawa Kerajaan BN tidak mungkin tumbang.

Oleh itu, adalah amat penting bagi UMNO mengetahui dengan terperinci keadaan dan sentimen di peringkat akarumbi. Saya percaya ahli-ahli UMNO di peringkat terbawah pasti menyedari sentimen rakyat, dan dapat berikan maklumbalas yang paling berguna kepada pucuk kepimpinan parti. Dengan matlumat ini, kepimpinan kita sudah sepatutnya dapat membuat keputusan-keputusan yang sesuai dengan sebarang keadaan dan menepati citarasa rakyat.

Tetapi malangnya kita lihat keputusan-keputusan pemimpin kita tidak bantu menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi mereka. Ini mungkin berlaku kerana sentimen rakyat yang disampaikan oleh ahli-ahli kita di peringkat akarumbi tidak diendahkan dan diketepikan begitu sahaja.

Rakyat yang telah dihadapkan dengan pelbagai masalah kebelakangan ini kini menuntut pembelaan. Apabila pemimpin sudah tidak dilihat membela rakyat, sudah pasti rakyat menuntut perubahan kepimpinan.

Dalam UMNO, kita mengamalkan sistem demokrasi untuk memilih kepimpinan di semua peringkat. Proses pemilihan ini menyuburkan parti, sekaligus memberi nafas baru kepada perjuangan yang didokonginya. Proses ini juga menjamin parti sentiasa relevan kepada rakyat, khususnya orang Melayu, kerana pemimpin yang dipilih sudah tentu dapat memahami kehendak golongan yang diwakilinya itu.

Apabila "perancangan" Peralihan Kuasa 2010 diumumkan oleh YAB Presiden parti, dan disokong ketika itu oleh YAB Timbalan Presiden, ianya memberi impak yang negatif kepada amalan demokrasi parti. Presiden mencadangkan agar ahli-ahli UMNO menyokong rancangannya supaya kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Hatta YAB Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dan YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak dicadangkan oleh Pak Lah supaya dikekalkan jawatan mereka sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO hingga tahun 2010.

Sebenarnya, apabila hanya ada satu "perancangan", dan tiada perancangan lain yang boleh dipertimbangkan, maka Perancangan Peralihan Kuasa 2010 itu bertukar daripada hanya sebuah 'perancangan' menjadi satu 'arahan' dari pihak-pihak yang berkepentingan. Ini jelas apabila Pak Lah meluahkan rasa kecewanya apabila YB Tan Sri Muhyiddin Yasin, Naib Presiden UMNO menyatakan bahawa peralihan pada tahun 2010 itu perlu dipertimbangkan semula baru-baru ini.

Terkini, Pak Lah mengarah kita semua supaya jangan lagi membangkitkan soal peralihan kuasa ini yang kononnya telah dipersetujui oleh MT dan Jemaah Menteri. Nampaknya pandangan ahli-ahli UMNO, ahli-ahli BN dan rakyat keseluruhannya tidak akan dipedulikan oleh pemimpin yang hanya mahu mengekalkan jawatannya sendiri.

Tidakkah boleh kita menyuarakan persoalan apabila pemimpin yang berkepentingan mengarah pengikutnya terus menyokongnya tanpa melalui proses pemilihan seperti pemimpin-pemimpin dan bakal-bakal pemimpin lain yang bertanding? Kenapa juga kita tidak boleh menyuarakan persoalan apabila tempoh penggal jawatan yang sepatutnya berakhir pada Disember 2008 ini dipanjangkan hingga tahun 2010 sewenang-wenangnya?


Saya yakin bahawa ramai yang bersetuju dengan saya bahawa amalan-amalan seperti ini menampakkan seolah-olah UMNO ini kepunyaan beberapa individu sahaja dan bukan hampir 3.5 juta ahlinya yang berdaftar. Malah, ahli-ahli UMNO telah menolak pemimpin-pemimpin parti yang tidak mengiktiraf peranan mereka sebagai ahli, lantas menyumbang kepada kekalahan UMNO dan BN di PRU 12 dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh 26 Ogos yang lepas.

Untuk menyelamatkan keadaan, saya percaya bahawa kita mesti serahkan semula kuasa memilih pemimpin kepada ahli-ahli di peringkat akarumbi. Saya sendiri telah menulis sepucuk surat kepada semua Ketua-Ketua Cawangan UMNO untuk memohon mereka mencalonkan pemimpin-pemimpin peringkat nasional sewaktu Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan mereka baru-baru ini. Ini telah saya lakukan kerana saya yakin bahawa inilah satu-satunya cara bagi kita untuk menjamin barisan kepimpinan parti yang bakal dipilih kelak benar-benar mendapat mandat dari sebilangan besar ahli UMNO.


Justeru, saya menyokong kenyataan YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak menyerahkan pemilihan pemimpin tertinggi parti kepada perwakilan di Mesyuarat Perwakilan UMNO di Bahagian-bahagian. Ini adalah sebagai menyahut saranan YB Tan Sri Muhyiddin bahawa peralihan kuasa antara YAB Presiden dan Timbalannya itu perlu disegerakan demi kelangsungan UMNO di dalam pemerintahan Malaysia.

Pada hemat saya, tidak siapa yang harus pertikaikan pendirian kedua-dua pemimpin ini. Pastinya mereka telah mendapat maklumbalas dari pelbagai pihak, dan sedar bahawa perubahan pucuk kepimpinan mesti dilaksanakan sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian Oktober depan. Olehitu kenyataan-kenyataan yang dilontarkan pula oleh pihak-pihak tertentu (yang jelas berkepentingan juga) membidas kenyataan asal Tan Sri Muhyiddin itu adalah berniat untuk menidakkan hak akarumbi untuk bersuara dan terlibat dalam pemilihan pucuk pimpinan.

Bagi menghadapi dan menangani ancaman yang dilaungkan oleh Anwar Ibrahim, kita mesti sudah menyusun langkah untuk mempertahankan UMNO dan juga hubungannya dengan parti-parti komponen di dalam BN. Saya percaya kepulangan YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad ke pangkuan UMNO untuk menyumbang nasihat, memberi keyakinan dan kekuatan baru untuk kita bersama mengharungi cabaran getir umat Melayu ini.

Marilah kita sama-sama menyokong gerakan perubahan ini. Kita mesti berani mengorak langkah untuk mencapai perubahan agar perjuangan rakyat dapat kita jayakan Insya'Allah.

Dengan itu, saya ucapkan selamat berjuang dan Berani Berubah!

0 comments:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP